Sunday, February 21, 2010

Kenapa Diam ?

SIS dan liberalisme?
Awang tertarik dengan kenyataan Mufti Perak, Harussani Zakaria yang membidas Sisters in Islam (SIS) kerana dikatakan menolak hukum Allah. Teguran itu dibuat berikutan reaksi SIS yang menyifatkan tindakan merotan tiga wanita Islam atas kesalahan melakukan persetubuhan haram sebagai diskriminasi terhadap wanita.

Pertubuhan bukan kerajaan itu mendakwa hukuman sebat mencabuli hak sama rata. Menurut SIS, tidak sepatutnya berlaku diskriminasi seperti yang dijamin oleh Perlembagaan kerana wanita tidak boleh disebat menurut Seksyen 289, Akta Kanun Jenayah.

Bukanlah niat Awang untuk memihak kepada sesiapa. Teguran Harussani sebagai seorang ulama yang disegani, ada kewajarannya dan perlu dihormati.

Ketiga-tiga wanita yang menjalani hukuman sebat baru-baru ini adalah di bawah perundangan syariah dan bukannya sivil, yang hakikat tersebut mesti difahami. Ia sudah termaktub dalam Islam, jadi untuk apa dipersoalkan oleh NGO yang mendakwa menjaga kepentingan Islam.

Berdasarkan sesi-sesi penerangan berkaitan kaedah hukuman sebat mengikut syariah ke atas pesalah wanita, pelaksanaan sebatan tidaklah seberat mana dan cukup sederhana. Lengkap berpakaian dan tiada pun kesan luka pada badan pesalah.

Lagi pun, untuk apa menjadikan ia isu besar sedangkan ketiga-tiga wanita berkenaan reda, malah lebih suka menjalani hukuman sebat sebagai sebahagian daripada usaha menyucikan dosa.

Dalam Awang mendokong Islam yang progresif dan menghargai sedikit sebanyak sumbangan SIS namun diharap NGO itu dapat menilai diri sendiri, hala tuju dan relevansinya kepada kepentingan sebenar umat Islam. Makin banyak suara yang marah dan kecewa terhadap SIS. Ini berdasarkan pendiriannya dalam beberapa isu kritikal yang dilihat tidak selari dengan hukum-hakam Islam.

NGO itu juga perlu belajar mendengar pandangan pelbagai pihak dan jangan menganggap mereka sahaja di pihak yang benar. Persoalan yang berbangkit apakah yang SIS perjuangkan - Islam, feminisme Islam atau liberalisme?

Walaupun bukan pakar, Awang memahami sejarah feminisme Islam dunia termasuk pemikiran Profesor Dr. Aminah Wadud, Dr. Fatima Mernisi dan Amira Sonbol. Antara yang kerap dibangkitkan ialah berkaitan tafsiran semula ayat-ayat Al-Quran dan hadis dari sudut 'kepentingan' wanita. Beberapa tokoh feminisme lain turut mempersoalkan hal-hal fundamental dalam Islam termasuk tafsiran klasik dan teks wahyu yang dianggap kononnya memihak kepada ulama dan kaum lelaki. Semua ini jelas menampakkan aliran liberalisme.

Apakah SIS mahu terjebak dengan liberalisme, yang Awang harap tidak. Tetapi jika mahu menegakkan liberalisme mengatasi kepentingan Islam, gugurkan sahaja perkataan Islam pada nama pertubuhan itu.

Ketika umat Islam kian berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk perpecahan dan kebejatan sosial, adalah lebih baik SIS mengambil pendekatan mengadakan dialog tertutup jika tidak berpuas hati. Mengeluarkan kenyataan yang mempersoalkan Islam, hanya akan memberi implikasi buruk.

Sesungguhnya Awang juga ingin melihat peranan SIS dalam membantu wanita dan gadis Islam yang terjebak dengan masalah sosial seperti kes buang bayi dan seks bebas, yang kian membimbangkan. Daripada mereka banyak bercakap, apa salahnya SIS lebih berorientasikan tindakan di peringkat akar umbi.

Selain SIS, beberapa NGO lain termasuk berkaitan gender dan hak asasi (kebanyakannya bukan Islam), Majlis Peguam dan pemimpin PKR, Zaid Ibrahim turut membantah hukuman tersebut. Ada yang berpendapat tidak wajar diwujudkan sistem perundangan yang pelbagai. Pertanyaan Awang, apakah tidak boleh dilaksanakan hukuman syariah bagi umat Islam di negara ini sedangkan Islam adalah agama rasmi yang termaktub dalam Perlembagaan? Mungkinkah bantahan ini juga ada motif lain, yang didorong terhadap kebimbangan undang-undang syariah akan lebih subur di negara ini? Awang tidak pasti hal itu tetapi yang lebih pasti SIS perlu lebih menjaga sensitiviti umat Islam. - Utusan

* Senyap seribu bahasa pula majlis fatwa kebangsaan.

No comments:

Post a Comment

Submit Your Site To The Web's Top 50 Search Engines for Free!
counter on blogger